Dalam membicarakan Pilihanraya Umno yang ke 13 nanti berbagai manifesto mula kita kedengaran yang di buat oleh UMNO khususnya UMNO Selangor.Manifesto"Misi Tawan Selangor" mula menjadi agenda rasmi dalam memastikan Selangor kembali ke tangan Kerajaan Barisan Nasional.Di sini warisan ksal terpanggil dalam memberikan pendapat dan UMNO Selangor mesti memberikan tumpuan khusus terhadap beberapa perkara pokok yang mesti dapat dilihat dilaksanakan jika BN mahu kembali memerintah termasuk memenangi Pilihanraya Umum yang ke 13 kelak.
Pertama, pemimpin mesti dapat dilihat latar belakang dan akhlaknya baik. Kebaikannya itu bermula dengan dia berjaya menjaga diri sendiri dengan imej bersih serta keluarganya, bertunjangkan keikhlasan. Warisan ksl memetik kata-kata ahli falsafah Cina, Konfucius yang berbunyi :
"if you want to rule the state, first put your house in order, to put your house in order, first cultivate yourself morally, to cultivate yourself morally, first put your heart right, to put your heart right, you must be sincere. "
Pemimpin mesti dapat dilihat berakhlak sedemikian, tidak kira sama ada mereka Islam atau tidak. Mereka mesti menjadi contoh yang terbaik kepada rakyat bagi membolehkan mereka dipilih oleh rakyat. Sesungguhnya, tanggungjawab memimpin teramat berat, bukan sekadar main-main atau ingin mencuba nasib. Ada perhitungan dunia dan akhirat. Menjadi pemimpin bukanlah tiket untuk membuncitkan perut atau mengumpul harta. Kekayaan negara mesti digunakan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.
Pemimpin mesti ada rasa malu untuk memimpin jika mereka mempunyai masalah peribadi dan masalah keluarga, kerana kehadiran mereka tidak perlukan, malah merosakkan agama, bangsa dan negara. Sikap menerima keburukan dan berusaha untuk menutupnya, hanya akan mengundang kehancuran. Ingatlah kita boleh menutup kemarahan manusia, tetapi kita tidak dapat menutup kemurkaan Allah SWT. Kadangkalawarisan ksl bimbang jika bala turun disebabkan oleh perbuatan kita, adakah orang baik yang tidak bersalah akan terselamat! Apa yang warisan ksl tahu, bila bala turun, semuanya akan terpalit, walaupun orang tidak bersalah itu tidak melakukan kejahatan tersebut. Justeru, fikirkanlah secara mendalam sebelum berjahat dan menjadi penjahat.
Kata-kata dahulu kala seperti
‘jika BN letak songkok sekalipun akan menang pilihan raya’ tidak dapat diterima pakai lagi. Songkok hari ini bukan hanya akan tidak di pakai, malah dicampak rakyat entah ke mana. Justeru, pemimpin mesti mempunyai integriti yang amat tinggi. Menjadi role model kepada rakyat, terutama golongan muda yang sentiasa melihat pemimpin sebagai contoh teladan.Ibarat kata-kata Saudara Khairi Jamaludin pengundi muda mengundi bukan berdasarkan parti tetapi mereka melihat faktor calon dalam memberi pengundian Jika pemimpin terlibat dalam masalah moral bagaimanakah kita hendak mengatakan kepada rakyat supaya menjauhi perkara terkutuk itu kerana cakap sudah tidak serupa bikin.
Pendek kata, sebagai pemimpin mereka mesti dapat mengalir manfaatnya kepada manusia. Seperti kata Pendeta Za’ba,
"hidup ini mesti melakukan kebajikan dengan berjasa kepada orang."Setiap pembangunan yang dilaksanakan atau dasar baru yang dilaksanakan haruslah semua rakyat tidak kira agama,bangsa atau etnik sama-sama dapat menikmatinya.
Kedua, pemimpin-pemimpin parti-parti komponen BN janganlah bertindak mendesak dan menggugut UMNO ketika parti Melayu ini berada dalam keadaan lemah akibat perpecahan orang Melayu. Secara umumnya, semua rakyat Malaysia sudah dapat apa yang sepatutnya mereka dapat (basic need). Cuma apa yang berlaku hari ini, kita mahu menambah apa yang telah kita dapat. Pada hemat saya, buat sementara ini, lupakanlah tindakan mendesak buat sementara waktu. Sebaik-baiknya berikanlah sokongan kepada UMNO untuk bangkit kembali menjadi sebuah parti Melayu yang kuat dengan penuh integriti. Sokonglah UMNO selagi mana ia berada di landasan yang betul. Perbetulkannya, jika ia mula melencong daripada landasan.Yang warisan ksl dapat lihat akibat perpecahan sokongan Orang Melayu terhadap UMNO pada PRU 12 dahulu terlalu ramai orang kadang-kadang yang sinisnya sesetengah ahli umno dan juga segelintir pemimpin-pemimpin dari parti komponen mula banyak mengkritik antara satu sama lain.Haruslah diingat
mengkritik,menasihat dan menegur adalah setiap satu patah perkataan tersebut memberi maksud yang berbeza sama sekali.Teguran dan menasihati adalah baik jika ianya bertujuan untuk penambahbaikan dan mengkritik pula dengan tujuan untuk menjatuhkan seseorang adalah satu tindakan yang tidak baik sama sekali.
Parti-parti komponen BN hendaklah mengumpulkan kekuatan dan mengatur strategi untuk menghadapi pilihan raya akan datang dan bukannya mengambil kesempatan ketika orang lain ditimpa musibah atau tidak berupaya. Memang tidak dapat dinafikan inilah peluang keemasan dan kesempatan yang perlu dipergunakan dengan menuntut itu dan ini, tetapi saya ingatkan belajarlah memahami psiki orang Melayu. Melayu jarang meluahkan kemarahannya di khalayak, tetapi mereka mudah memendam rasa. Menyimpan sesuatu yang terbuku di hati, kemudian diterjemahkan dalam bentuk sukar dikawal. Inilah yang paling saya bimbang sekian lama memahami bangsa ini.
Ketiga, mengikhtiraf Malaysia sebagai sebuah negara yang berasaskan kepada sistem kenegaraan Melayu atau Malay Polity. Kemajmukan masyarakat di negara ini tidak berlaku secara semulajadi. Negara ini bermula dengan satu bangsa iaitu bangsa Melayu, dengan tidak menafikan orang asli. Hakikat ini mesti diterima oleh semua manusia di dunia ini. Tidak ada negara dalam dunia ini bermula dengan berbilang kaum. Ia bermula dengan satu kaum yang menduduki sesuatu kawasan atau negara. Nama kaum itu akan menjadi nama sesebuah negara negara.
Lanjutan daripada itu, slogan Ketuanan Melayu jangan pula dilihat sebagai melambangkan Melayu itu tuan, manakala bukan Melayu itu hamba. Laungan ketuanan Melayu hanya sekadar untuk mengingatkan sahaja bahawa negara ini berakarkan kepada sistem kenegaraan Melayu. Jika orang bukan Melayu itu hamba, sudah tentu kita akan merempat di bumi ini. Tetapi adakah ianya berlaku sedemikian rupa? Siapakah tuan, siapakah hamba sebenarnya? Jika orang Melayu tuan, warisan ksl tidak fikir hanya 8 orang sahaja yang tersenarai daripada 40 orang terkaya di negara kita.Wal hal kita dapat lihat di Malaysia Gedung-gedung,bangunan-bangunan,rumah kedai dan banyak jenis perniagaan di miliki oleh kaum bukan Melayu.Justeru, tidak perlulah lagi isu sebegini dimanipulasikan.
Fahamilah konsep keadilan dalam Islam. Keadilan itu bukannya sama rata dan sama rasa, tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya. Islam boleh memberikan keadilan, tetapi Islam tidak dapat memberikan sama rata dan sama rasa, sebab agama Islam itu sendiri tidak boleh disamakan dengan agama lain. Tetapi Islam memberikan jaminan keadilan. Dengan sebab itu, kita lihat orang bukan Islam boleh membina empayar kekayaan dan hidup aman damai di bumi Islam, tetapi belum tentu orang Islam boleh merasai perkara yang sama di bumi bukan Islam. Lagi pula orang Islam jarang cemburu dengan kekayaan yang dimiliki oleh bukan Melayu.
Justeru, tindakan mengungkit-ngungkit hak-hak istimewa orang Melayu seperti yang termaktub dalam perkara 153 hanya kemarahan orang Melayu. Sedangkan kita tahu bahawa hak-hak tersebut tidak langsung menyekat orang bukan Melayu untuk terus berjaya. Malah apa yang kita lihat, bukan Melayu semakin berjaya, manakala kejayaan Melayu dan bumiputera masih menjadi tanda tanya. Adakah sebenarnya mereka benar-benar berjaya?Rasa-rasanya sudah 53 tahun kita merdeka orang Melayu dikira dari segi penguasaan bidang ekonomi adalah kebelakang berbanding dengan orang Melayu.
Keempat imej seorang pemimpin BN mesti bersih dan bebas daripada rasuah. Memberi dan menerima rasuah, kedua-dua masuk neraka. Rasuah adalah perbuatan yang dapat dilihat dan masyarakat kita mula jijik dengannya. Rasuah adalah amat bahaya kepada agama, bangsa dan negara, tidak ada kompromi dalam isu ini. Pemimpin yang hendak mewakili rakyat mesti menjauhkan diri daripada perbuatan ini. Sama ada mereka mahu menjadi pemimpin cawangan atau bahagian sehinggalah ke peringkat negeri dan pusat, pemimpin yang jelas terlibat dalam rasuah dan politik hendaklah ditolak untuk cuba diketengahkan atau bertanding.
Kelima, mencari persamaan dalam kehidupan beragama, bersatu atas kebaikan dan menolak kemungkaran. Tidak ada agama yang menerima keburukan. Semuanya menganjurkan kebaikan. Maka nilai kebersamaan itu mesti dicari. Misalnya, seks bebas, pergaulan bebas, berzina, hiburan melampau, minum arak, judi dan sebagainya. Tidak ada satupun agama yang membenarkan perbuatan terkutuk ini. Justeru, tidak timbul soal untuk berhujah mempertahankan bahawa ianya adalah hak asasi manusia. Bila mana hak asasi manusia tertembung dengan hak Pencipta, maka hak Pencipta mesti diutamakan untuk mengelakkan mudarat yang lebih besar.
Keenam, menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan seperti yang termaktub dalam perlembagaan yang menjadi anutan orang Melayu. Perlu diingatkan bahawa orang Islam tidak pernah campurtangan dalam hal ehwal atau urusan bukan Islam. Justeru, sudah sampai masanya orang bukan Islam tidak mengeluarkan kenyataan yang menyinggung hati dan perasaan orang Islam.
Warisan ksl dapat melihat kerajaan hari ini sudah mula cenderung kearah penambah baikan sistem ekonomi islan dan perundangan Islam.Semakin cenderung UMNO kepada Islam, semakin ia mendapat sokongan, kerana agama tidak pernah menipu manusia. Tuhan tidak pernah menipu manusia, melainkan manusia yang selalu menipu Tuhan. Yakinlah.
Secara peribadi warisan ksl memuji sejak PRU 12 dahulu kerajaan BN yang di pimpin Dato Seri Najib Tun Razak banyak memperbaiki kelemahan yang berlaku.Dalam tempoh 2 tahun banyak penambahbaikan yang di buat.Inilah peranan wakil-wakil rakyat BN,UMNO Pusat,UMNO Negeri dan bersama Semua Kepimpinan Parti Komponen berganding bahu dengan pemimpin akar umbi dalam menjayakan hasrat Gagasan 1 Malaysia.Setiap program yang di jalankan hendalah ada impact atau kesan yang mendalam terhadap jiwa rakyat.Yang paling penting setiap pemimpin dan ahli mempunyai
"personel touch" dalam menghampiri pengundi-pengundi supaya mereka sentiasa merasakan mereka dihargai dan diambil berat oleh Kerajaan.
Kalu semua ini di titik beratkan Insya Allah Selangor berada dalam genggaman Kerajaan Barisan Nasional.Percayalah.....